AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.0510/0550 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ringgit kekal mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di awal dagangan Rabu dengan minat belian sederhana ketika unit negara maju itu susut berbanding mata wang negara-negara kumpulan G-10.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0510/0550 berbanding dolar AS daripada 4.0570/0600 ketika urus niaga ditutup pada Selasa.

Seorang peniaga menyifatkan ringgit terus mencari momentum peningkatan dan tidak terkesan dengan aliran pergerakan dolar AS.

“Bagaimanapun, kebimbangan mengenai peningkatan hasil AS pada minggu lepas dan ketidaktentuan mengenai harga minyak dalam tempoh terdekat selain kemungkinan People Bank Of China menurunkan sokongan dasar, adalah perkara yang tidak menarik bagi prospek pertumbuhan mata wang Asia

“Saya juga menjangkakan ringgit akan terus memberi respons (terhadap perkembangan) dalam tempoh-tempoh menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ketika peniaga tempatan terus mengenal pasti petunjuk hala tuju harga minyak pada lewat minggu ini,” kata Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun yang meningkat kepada 3.7938/7986 daripada 3.7948/7987 pada Selasa.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0463/0500 daripada 3.0433/0462, rendah berbanding pound Britain kepada 5.6552/6612 daripada 5.6258/6304 dan merosot berbanding euro kepada 4.8956/9021 daripada 4.8708/8748.

– BERNAMA


Pengarang :