AGENDANASIONAL

Ringgit dijangka diniaga berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, seiring dengan prestasi mata wang pasaran sedang pesat membangun lain serta perkembangan membabitkan trajektori pulangan bon AS, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata ringgit susut pada kadar kurang daripada 0.5 peratus minggu ini dan mencecah RM4.11 berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan prestasi pulangan Perbendaraan AS yang terus meningkat.

“Bagi minggu depan, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.10 hingga RM4.12 bagi setiap dolar AS, bergantung kepada trajektori membabitkan pulangan bon,” katanya.

Mengulas prospek ringgit, beliau berkata pelabur akan terus mengikuti rapat pergerakan pulangan bon selepas kertas Nota Perbendaharaan 10 tahun AS yang juga penanda aras, menokok sehingga 11 mata asas kepada 1.75 peratus pada Khamis – tertinggi sejak Januari 2020.

“People’s Bank of China akan turut mengadakan mesyuarat pada minggu depan yang turut dipantau rapat oleh pelabur untuk melihat jika bank pusat tersebut melaksanakan dasar monetari lebih ketat seiring dengan pemulihan ekonomi,” katanya.

Pada asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1050/1100 daripada 4.1160/1200 seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0564/0603 daripada 3.0557/0593 pada minggu sebelumnya namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7712/7762 daripada 3.7720/7760.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7150/7228 daripada 5.7262/7326 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.8813/8884 daripada 4.9050/9106, sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :