Ir Izham Hashim (kanan) menyerahkan bantuan baja kompos melalui Pakej Kita Selangor kepada petani di Kampung Banting, Sabak Bernam pada 9 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM1 juta bantu 2,500 pesawah tingkat hasil padi

SABAK BERNAM, 9 MAC: Sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi membantu 2,500 pesawah yang berdepan masalah kemerosotan hasil padi di daerah ini.

EXCO Pertanian berkata jumlah itu merangkumi beberapa bantuan termasuk biji benih dan baja sebagai langkah meningkatkan hasil tanaman melibatkan sawah sekitar Sungai Panjang dan Bagan Terap.

“Musim padi terbaharu ini, mereka mengalami kerugian besar apabila hanya mencatatkan 2.5 tan hasil untuk satu hektar berbanding lapan tan sebelum ini.

“Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian sangat ketara. Untuk capai untung, mereka seharusnya memperoleh hasil tuaian sekurang-kurangkan lima tan,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan baja kompos serta makanan asas kepada petani menerusi Pakej Kita Selangor di Parit 10 Timur dekat sini.

Izham berkata punca masalah terbabit sudah dikenal pasti antaranya kesuburan tanah serta penggunaan baja berlebihan.

“Masalah ini akan diselesaikan sebelum Julai. Kita pastikan hasil tanaman mampu mencapai ke tahap antara lapan hingga 10 tan setiap musim.

“Bantuan tidak difokuskan kawasan ini sahaja sebaliknya di semua kawasan yang didapati bermasalah. Kita harap pesawah serta jabatan berkaitan memberi kerjasama penuh agar langkah ini berkesan,” katanya.

 


Pengarang :