Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM1 juta diperuntuk teruskan program Insentif Rawatan Tibi

SHAH ALAM, 24 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan program Insentif Rawatan Tibi pada tahun ini.

EXCO kesihatan awam berkata menerusi peruntukan itu pihaknya menyasarkan kira-kira 2,000 pesakit tibi bakal menerima rawatan.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud masih ramai dalam kalangan rakyat tidak sedar bahaya penyakit itu.

“Salah satu punca perebakan berlaku disebabkan kegagalan pesakit tibi mendapat rawatan lengkap selama sekurang-kurangnya enam bulan.

“Bagi mengekang penularan penyakit berbahaya ini, saya menyeru orang awam memanfaatkan program disediakan Kerajaan Negeri (Insentif Rawatan Tibi) dengan melakukan rawatan susulan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan juga perlu berusaha memperluaskan peranan Unit Kesihatan Awam.

“Mereka tidak boleh hanya fokus pemeriksaan kesihatan di premis sahaja sebaliknya perlu menganjurkan program bersifat kesedaran atau pencegahan,” katanya lagi.

Pada masa sama Dr Siti Mariah turut mengucapkan Selamat Hari Tibi Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun.

Hari Tibi Sedunia dirai sempena memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium Tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Tujuan sambutan itu untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha kawalan dan pencegahan penyakit yang dilakukan di seluruh negara.


Pengarang :