Petugas kesihatan membuat calitan kepada orang awam ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan MBSJ Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sambutan menggalakkan, lebih 6,000 jalani ujian Covid-19

SUBANG JAYA, 13 MAC: Lebih 6,000 individu menyertai Saringan Komuniti Covid-19 diadakan sejak awal Februari hingga minggu lalu.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah berkenaan termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

Menurut Mohd Noor Md Nasir, program akan diteruskan lagi minggu hadapan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Selain mengutamakan kawasan panas, kita anjurkan juga di luar bandar supaya saringan menyeluruh dapat dibuat,” katanya ketika ditemui di lokasi saringan di Taman Batu Tiga di sini hari ini.

Beliau berkata, program menerusi Pakej Kita Selangor itu melibatkan 60 petugas yang terdiri dari kakitangan Selcare serta sukarelawan bekerja secara penggiliran.

“Ketika ini, perjalanan program mengutamakan golongan warga emas serta komuniti. Mahasiswa dijangka menjadi kelompok terakhir disasarkan.

“Sepanjang Ramadan, kita akan lihat kesesuaian dan keadaan semasa untuk anjurkan. Tahun lalu mufti jelaskan saringan Covid-19 boleh dilakukan ketika puasa,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :