Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan kepada penduduk pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Kajang pada 27 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti percuma diteruskan di Seri Kembangan hari ini

KAJANG, 27 MAC: Program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan hari ini di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan bagi mencegah penularan Covid-19.

Penduduk dan pekerja industri berhampiran Taman Belimbing, Bandar Damai Perdana, Taman Juara Jaya dan Kampung Baru Balakong mula beratur seawal jam 8.30 pagi untuk menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Saringan dikendalikan 30 petugas kesihatan Klinik Selcare serta dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 6 bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Antara lokasi penganjuran ialah di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam; Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :