Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti sasar 2,000 penduduk di empat lokasi

SHAH ALAM, 12 MAC: Program Saringan Komuniti Covid-19 pada esok dan Ahad menyasarkan penyertaan 500 individu di setiap empat lokasi.

Pengurus Klinik Selcare berkata ujian bersasar secara percuma bermula 9 pagi hingga 4 petang akan diadakan di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Katanya, program akan diteruskan pada Ahad di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7.

“Kita harap dapat saring 2,000 individu secara keseluruhan. Penduduk disaran manfaatkan ujian secara percuma selagi belum divaksin,” kata Mohd Noor Md Nasir kepada SelangorKini hari ini.

Program berlangsung di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong menumpukan penduduk Taman Mutiara Indah, Taman Saujana Puchong, Bandar Bukit Puchong.

Manakala mereka di Taman Mutiara Subang dan Seksyen 22, Shah Alam boleh membuat ujian di Taman Batu Tiga.

Saringan komuniti di USJ 7 pula menyasar penduduk Subang Perdana Goodyear Court dan kawasan berhampiran manakala penduduk Seksyen 27 di Dewan Seroja MBSA.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :