Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma di Kuala Langat, Kuala Selangor hujung minggu ini

SHAH ALAM, 17 MAC: Penduduk sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor digalak menyertai program Saringan Bersasar percuma pada hujung minggu ini.

Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) berkata program diadakan di Dewan Orang Ramai, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 20 Mac bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Manakala pada keesokan harinya (21 Mac) pula diadakan di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada waktu yang sama.

“Penduduk kawasan sekitar digalakkan hadir terutama mereka yang tinggal di Taman Seri Indah, Taman Pelangi, Taman Pancaran, Pekan Bestari Jaya dan Taman Kilauan di Kuala Selangor,” katanya melalui poster di Facebook.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :