EXCO Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman melakukan gimik perasmian sempena majlis pelancaran Selangor Xtiv Virtual di Foyer Suk, Shah Alam pada 23 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sedia pusat pembangunan e-sukan, lahir pemain profesional

SHAH ALAM, 23 MAC: Selangor bakal mewujudkan pusat pembangunan e-sukan dilengkapi akademi latihan, penginapan, studio dan tenaga pengajar di Seksyen 13 di sini.

EXCO sukan berkata sejumlah RM3 juta diperuntuk untuk mengubah suai bangunan bekas Hotel Carlton yang dijadualkan siap pada hujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Persatuan e-Sports Selangor (ESS), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Usaha ini membolehkan kita merangka modul latihan untuk melahirkan pemain profesional e-sukan,” kata Mohd Khairuddin Othman pada sidang media selepas merasmikan Selangor Xtiv Virtual 2021 di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata e-sukan bakal menjadi kerjaya masa depan yang memberi pendapatan lumayan menerusi permainan secara kompetitif.

Perkembangan sukan secara maya itu di Malaysia bermula menerusi pertandingan di peringkat tempatan anjuran kelab sebelum mendapat tempat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Negara juga menghantar atlet e-sukan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia dan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.


Pengarang :