Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan tawaran pinjaman Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) kepada salah seorang peserta di Dewan Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Sungai Manggis, Kuala Langat pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sedia tambah dana skim niaga, bantu usahawan terjejas Covid-19

KUALA LANGAT, 21 MAC: Kerajaan Negeri bersedia menambah peruntukan Skim Perniagaan Darul Ehsan (NaDI) bagi membantu lebih ramai peniaga mendapat pinjaman asas.

Dato’ Menteri Besar berkata dana sebanyak RM10 juta yang disediakan menerusi Belanjawan 2021 membantu usahawan berdepan tempoh sukar susulan wabak Covid-19.

“Kita akan tambah jumlah itu jika ada keperluan. Ketika ini peruntukan sedia ada diagihkan segera untuk membantu golongan terjejas meneruskan perniagaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang ditemui sempena program Jelajah Kita Selangor di sini turut menyerahkan tawaran pinjaman kepada 61 peserta NaDI dan Hijrah berjumlah RM538,000.

L Dhemala Thevy

Sementara itu, salah seorang penerima skim berkenaan L Dhemala Thevy, 40, menggalakkan lebih ramai wanita merebut peluang untuk berniaga dan menjana pendapatan tambahan.

“Bantuan ini bukti keprihatinan Kerajaan Negeri, justeru saya seru kaum Hawa terutama suri rumah untuk mohon skim ini bagi menambah pendapatan,” katanya yang berkhidmat sebagai tukang jahit.

Pada 10 Februari, Amirudin melancarkan NaDi bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.

 


Pengarang :