Kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600). Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor belum bercadang teroka laut sebagai sumber air mentah

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor belum bercadang meneroka sumber air mentah baharu termasuk menggunakan air laut untuk keperluan harian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumber air daripada sungai serta sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) mampu menampung bekalan dalam tempoh 40 tahun lagi.

“Setakat ini kita kekal bergantung kepada sungai, HORAS dan ORS di Bestari Jaya sebagai sumber air namun mungkin 20 tahun akan datang baru kita mempertimbangkan sumber baharu.

“Banyak perkara perlu diteliti kalau mahu ambil air laut sebagai sumber air, kita juga perlu lihat kos menyediakan kelengkapan serta kos penyelenggaraan jika rosak,” katanya.

Sesi menandatangani perjanjian pada 16 Mac 2021 bagi memuktamadkan usaha sama di antara Air Selangor dan IWK berkaitan usaha sama pulih guna air bersama Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Narendran Maniam (pertama dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman (tengah) bersama Pengarah Central Water,Kevin Lee (kelima dari kiri) dan disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kedua dari kiri) dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin bin Shari (keempat dari kiri). Foto: Air Selangor

Beliau berkata pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, hari ini.

Kedua-dua syarikat akan membangunkan loji air pulih guna untuk kegunaan industri di Setia Alam yang mampu mengeluarkan lapan juta liter sehari, Seksyen 23 Shah Alam (40 juta liter) dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur (100 juta).

Usaha sama tersebut membantu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengasingkan bekalan air untuk sektor domestik dan industri untuk jangka masa panjang.


Pengarang :