Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Penggerak Kerajaan Selangor sempena Sambutan Ulang Tahun Yayasan Hijrah Selangor ke-6 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam (PPAS) pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor cadang semak belanjawan, bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Negeri bercadang menyemak semula Belanjawan 2021 selepas Aidilfitri susulan perebakan Covid-19 belum berakhir.

Dato’ Menteri Besar berkata perbelanjaan baharu perlu dirangka dengan menangguhkan projek tertentu bagi membolehkan lebih banyak bantuan disalur kepada rakyat berpendapatan rendah dan peniaga kecil.

“Mungkin ada projek atau program yang tidak dapat dilaksanakan pada awal tahun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita jangka semak belanjawan pada Mei atau Jun namun tertakluk kepada status terkini darurat, sama ada boleh adakan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) atau tidak,” kata Dato’Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah Selangor keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata urusan untuk mengadakan sidang DNS memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sekiranya terdapat keperluan dari segi pindaan rang undang-undang atau pun pembentangan rang undang-undang, maka perlu perkenan Istana Negara.

“Buat masa ini Jabatan Perbendaharaan dan pegawai kewangan negeri sedang memperkemaskan pindaan peruntukan untuk program tertentu, selepas semuanya siap baru kita boleh laksana langkah seterusnya,” katanya.


Pengarang :