Selangorkini
EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han (dua, kanan) bersama Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir (kanan) dan Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan (dua, kiri) melihat video pendek pusat kitar semula selepas merasmikan Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Selangor cadang wajib asingkan sisa pepejal dari rumah

PUCHONG, 29 MAC: Kerajaan Negeri akan meminda undang-undang kecil (UUK) sedia ada untuk mewajibkan kitar semula bermula dari rumah, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata enakmen itu akan dikaji dalam masa terdekat agar undang-undang mewajibkan pengasingan sisa pepejal mengikut jenis di kediaman dapat dilaksanakan.

“Sebenarnya kita memang mahu wujudkan satu enakmen pengurusan sisa pepejal di Selangor tetapi sehingga hari ini tidak mendapat maklum balas positif daripada kerajaan pusat.

“Oleh itu, salah satu kaedah ialah kita akan kaji untuk pinda UUK sedia ada mewajibkan kitar semula bermula dari punca (rumah) dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan, Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir.

Pada masa sama, Sze Han menggesa masyarakat memberi kerjasama mengasingkan sisa pepejal selari dengan matlamat Selangor menuju Negeri Pintar menjelang 2025.

“Program ini mungkin tidak berjaya sekiranya hanya agensi terlibat sahaja melakukannya sebaliknya ia perlukan sokongan dan usahasama daripada penduduk,” katanya lagi.


Pengarang :