AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor catat nilai pelaburan tertinggi tiga tahun berturut-turut

SHAH ALAM, 2 MAC: Selangor berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi yang diluluskan tiga tahun berturut-turut sebanyak RM38.7 bilion daripada jumlah RM164 bilion bagi tahun 2020.

Walau ekonomi tidak menentu susulan penularan Covid-19, EXCO pelaburan menjelaskan RM18.4 bilion daripada jumlah itu datang daripada sektor pembuatan.

“Juara tiga tahun berturut-turut! Selangor mencatat jumlah pelaburan tertinggi yang diluluskan (RM38.7 billion) dan juga dalam sektor pembuatan (RM18.4 bilion) bagi tahun 2020.

“Angka tiga tahun tersebut merupakan angka yang paling tinggi dalam tempoh 27 tahun lalu,” kata Dato’ Teng Chang Khim di Facebook.

Beliau mengulas laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) 2020 yang menunjukkan Sabah merekod pelaburan RM21 bilion, Sarawak (RM19.6 bilion), Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16 bilion).

Lima negeri ini menyumbang 68.5 peratus jumlah pelaburan yang diluluskan.

Selangor juga berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi dalam bidang pembuatan, diikuti Sarawak (RM15.7 bilion), Pulau Pinang (RM14.1 bilion), Sabah (RM12.0 bilion) dan Johor (RM6.8 billion).

Lima negeri ini menyumbang 73.4 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan tahun lalu.

Pada 2019, Selangor mencatat nilai pelaburan RM47.8 bilion sekali gus menyumbang 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Pelaburan RM164 bilion yang melibatkan 4,599 projek dijangka dapat mewujudkan 114,673 peluang pekerjaan bahar dalam pelbagai sektor ekonomi.

Daripada jumlah ini, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM99.8 bilion atau 60.9 peratus, sementara pelaburan langsung asing (FDI) pula RM64.2 bilion (39.1 peratus).

Grafik oleh Mida yang dikongsi di Facebook Teng Chang Khim

Pengarang :