Pasukan Selangor FC melakukan persiapan terakhir di padang latihan sekitar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak menjelang perlawanan ke-2 Liga Super 2021 menentang Terengganu FC pada 9 Mac 2021. Foto Facebook Selangor FC
AGENSISELANGOR

Selangor FC perlu kekal momentum, kutip mata penuh

SHAH ALAM, 9 MAC: Pemain Selangor FC diminta meneruskan momentum kemenangan apabila turun beraksi di gelanggang lawan menentang Terengganu FC pada malam ini.

Pengurus pasukan berkata kejayaan membenam Sri Pahang dalam perlawanan pembukaan Liga Super menjadi pembakar semangat pemain untuk terus mencatat kejayaan.

“Gergasi Merah mulakan langkah kanan apabila menang 3-1 mengatasi Tok Gajah yang bukan calang-calang pasukan, ia menunjukkan pemain dapat sesuaikan dengan taktikal jurulatih.

“Mereka perlu kekal fokus, Terengganu FC mempunyai reputasi hebat namun berdasarkan semangat ditunjukkan ketika berlatih, kita yakin mampu mengutip tiga mata,” kata Mahfizul Rusydin kepada SelangorKini hari ini.

Selangor FC dijadual bertemu pasukan bimbingan Nafuzi Zain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 9 malam ini.

Merah Kuning menyasar kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini bagi melayakkan bertanding peringkat Asia, kata pengurusnya.

Pasukan yang menjadi juara Liga Super akan layak bertanding Piala Juara-Juara Asia manakala naib juara menyertai Piala AFC.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan pelantikan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih pasukan Gergasi Merah untuk saingan liga musim 2021.

Neitzel berpengalaman menguruskan pasukan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman.


Pengarang :