BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor henti guna kupon, bayar parkir melalui aplikasi tahun depan

SHAH ALAM, 12 MAC: Penggunaan kupon parkir di semua tempat letak kereta diurus pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dihentikan pada 31 Disember ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata sistem pembayaran digital menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bagi menggantikan kaedah manual berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

“Kita akan mewujudkan petak parkir khas (hot zone) di kawasan aliran trafik tinggi dengan mengehad masa maksimum,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan sistem ejen e-parkir sebagai alternatif kepada orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar.

Pada Selasa, Sze Han mempengerusikan mesyuarat hala tuju pengurusan tempat letak kenderaan PBT Selangor di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam bagi memutuskan perkara berkenaan.

Berhubung petak parkir khas, ia akan diberi nama lebih sesuai yang mesra pengguna dan dikuat kuasa selepas pindaan ke atas jadual di dalam Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) diguna pakai PBT Selangor diwartakan.

Diperkenal pada Julai 2018, SSP digunakan secara meluas oleh PBT negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aplikasi dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit selari agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

Sehingga kini, pengguna berdaftar dengan sistem tempat letak kereta pintar itu melebihi 1.5 juta.


Pengarang :