Laman sesawang Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja menepati kekosongan jawatan.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Kerjaya: Peserta ditawar kerja jalani kursus khas

SHAH ALAM, 8 MAC: Pemohon program Selangor Kerjaya yang mendapat tempat dalam pasaran kerja berpeluang mengikuti kursus khas selama setahun.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkata kursus secara maya dipilih majikan bagi meningkatkan kemahiran serta kualiti kerja dan sijil akan diberikan kepada mereka selepas menamatkan latihan.

“Untuk rekod, seramai 38 daripada 80 individu yang melepasi sesi temuduga dalam talian dan fizikal berjaya ditempatkan ke pelbagai sektor pekerjaan,” kata Norita Mohd Sidek kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor Kerjaya mempunyai ciri unik berbanding saluran carian pekerjaan lain seperti pemohon perlu melalui ujian profil untuk proses saringan bagi memahami minat, kemahiran dan jenis kerja sesuai.

“Laporan ini akan dikongsikan dengan mereka sebagai rujukan, malah latihan asas dijalankan untuk menyediakan tenaga kerja yang dipilih untuk ditemuduga.

“Justeru, MBI berharap lebih ramai warga Selangor mengambil peluang mendaftar diri dan membina kerjaya melalui program ini,” katanya.

Pada 26 Januari, Kerajaan Negeri melancarkan laman sesawang www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa pendek dan panjang.

Usaha tersebut turut dikhususkan kepada individu yang hilang pekerjaan susulan penularan Covid-19.


Pengarang :