Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan media selepas selesai penyerahan beberapa sumbangan di Tokong Kau Ong Yah Hon, Ampang sempena Jelajah Kita Selangor pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor laksana kempen daftar vaksin minggu hadapan

AMPANG, 7 MAC: Kerajaan Negeri akan melaksanakan kempen pendaftaran vaksin bermula minggu hadapan bagi memudahkan masyarakat menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dato’ Menteri Besar berkata pemimpin akar umbi digerakkan dalam menyebarkan maklumat tersebut seterusnya memastikan tiada individu tercicir menerima suntikan berkenaan.

“Setakat ini pendaftaran masih rendah dan bagi mencapai 27 juta penduduk Malaysia (mengambil vaksin) akan mengambil masa lebih setahun untuk selesai.

“Justeru saya sedang mengkoordinasi dengan ketua kampung dan ahli majlis untuk membantu orang ramai dalam program pendaftaran ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui pada Jelajah Kita Selangor di Parlimen Ampang hari ini.

Sementara itu, beliau berkata lebih 10,000 petugas barisan hadapan di negeri ini meliputi anggota kesihatan dan keselamatan menerima suntikan vaksin fasa pertama setakat semalam.

Amirudin menjelaskan tumpuan kini terhadap persediaan bagi pemberian vaksin skala besar menjelang fasa kedua dan ketiga yang membabitkan penggunaan kemudahan fasiliti.

“Kita mengadakan mesyuarat mingguan untuk susun tenaga kerja dalam kalangan pihak berkaitan kerana sedar fasa seterusnya paling kritikal,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Amirudin bersama EXCO Kerajaan Negeri antara 42 individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.


Pengarang :