Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad melawat ruangan perpustakaan selepas merasmikan Perpustakaan Awam Selangor di Dataran Sabak, Sabak Bernam pada 26 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor modenkan 60 pustaka, pikat ramai pengunjung

SABAK BERNAM, 26 MAC: Sebanyak 60 perpustakaan awam di Selangor dinaik taraf sejak 2009 bagi menarik lebih ramai pengunjung, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perubahan kepada konsep moden tidak hanya melibatkan perpustakaan bandar sebaliknya turut meliputi perkampungan.

Jelasnya, usaha tersebut seiring peredaran zaman yang kekal sebagai wadah utama penyimpanan dan gudang ilmu serta sesuai bagi semua golongan.

“Apabila kita naik taraf, orang lebih pandang dan ubah persepsi bahawa perpustakaan bukan hanya tempat ulat buku, antisosial, tempat yang bosan dan ulang kaji pelajaran sahaja.

“Bermula dengan ‘Perpustakaan Rumah Keduaku’, kita terus lebarkan fungsinya menjadi pusat setempat untuk semua golongan, meletakkan elemen kekeluargaan dan teknologi untuk kemudahan semua,” katanya.

Berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor di Dataran Sabak hari ini, Amirudin berkata sebanyak 103 perpustakaan beroperasi di seluruh negeri.

Beliau berkata Sabak Bernam memiliki 26 unit daripada jumlah berkenaan, tertinggi dalam daerah dengan lapan sudah dinaik taraf manakala satu lagi sedang diubah suai.

“Setiap tahun kita mempunyai perancangan untuk naik taraf semua perpustakaan ini supaya ia menjadi lokasi pilihan semua golongan,” katanya yang juga pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.


Pengarang :