EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tengah) disertai Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi (kanan) menyampaikan bantuan makanan asas warga tani kepada penerima di Pangsapuri Melati, Taman Bukit Subang pada 23 Mac 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM500,000 bantu petani – EXCO

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 untuk disumbang kepada golongan petani menerusi bantuan makanan.

EXCO pertanian berkata sebanyak 7,000 pek bahan berkaitan akan disalurkan pada tahun ini bagi mengurangkan beban mereka sejak penularan Covid-19.

“Hari ini kita agihkan 30 dan 100 lagi akan diagihkan oleh YB (Yang Berhormat) Najwan (Halimi) kepada penduduk di sekitar Kota Anggerik,” kata Ir Izham Hashim ketika ditemui selepas program bantuan berkenaan di Pangsapuri Melati, Taman Bukit Subang hari ini.

Pada program sama beliau turut melawat kebun komuniti yang diusahakan penduduk perumahan berkenaan.

“Di Shah Alam sahaja ada 50 kebun komuniti dan kita akan bantu menerusi pemberian baja organik bernilai tinggi serta peralatan untuk bertani,” katanya.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif diberikan antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).


Pengarang :