Orang ramai menunggu giliran untuk mengesahkan pendaftaran sebelum dibenarkan menjalani ujian calitan pada program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar percuma di tapak parkir, Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Kajang pada 27 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare cadang buat saringan Covid-19 waktu malam sepanjang Ramadan

KAJANG, 27 MAC: Klinik Selcare bercadang melaksanakan program Saringan Komuniti secara percuma pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.

Pengurus Mohd Noor Md Nasir berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam masa terdekat.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita kena berbincang lebih lanjut sama ada untuk teruskan (saringan) atau berehat sementara. Jika mahu dilaksana perlu lihat kesesuaian masa dan mungkin pada waktu malam.

“Jika dilakukan waktu malam ia bergantung pada situasi semasa memandangkan solat tarawih di masjid serta surau sudah dibenarkan, jadi kita kena mempertimbang sama ada orang ramai boleh keluar ke saringan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor memaklumkan sebanyak 500 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dijangka diambil melalui saringan hari ini yang dijadual berakhir jam 4 petang.

Menurutnya, sasaran itu mengambil kira kehadiran masyarakat setempat termasuk pekerja industri berhampiran yang mencecah 150 orang setakat jam 12 tengah hari.

“Walaupun bermula jam 9 pagi, tetapi mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menjalani saringan dan ini membuktikan kesedaran masyarakat di sini sangat tinggi.

“Malah, mereka bersedia lebih awal dengan membuat prapendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sekali gus membantu mempercepatkan lagi proses saringan,” katanya.


Pengarang :