Petugas Kesihatan Selcare mengambil inisiatif memanggil warga asing untuk hadir ke Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 secara percuma di Dataran Otomobil, Shah Alam pada 7 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selcare ronda rumah ke rumah, cari warga asing jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 7 MAC: Petugas Saringan Komuniti membuat rondaan dari rumah ke rumah untuk mencari warga asing bagi membolehkan mereka menjalani ujian Covid-19.

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata inisiatif itu dilakukan anggotanya dan pihak berkuasa tempatan berikutan majoriti golongan terbabit masih tidak tahu mengenai program saringan percuma itu.

Pengurus Operasi, Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Ujian Saringan Covid-19 secara bersasar di Dewan Resak MBSA, Subang Perdana, Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Petugas kita akan mencari kediaman warga asing di sekitar lokasi saringan dan kemudiannya menasihatkan mereka supaya hadir jalani ujian saringan Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor kerana ia adalah percuma.

“Hasil proaktif petugas ini mendatangkan kesan positif kerana buktinya sehingga jam 10 pagi tadi, terdapat hampir 200 warga asing yang mendaftar untuk jalani saringan Covid-19,” katanya pada program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Dataran Otomobil Seksyen 15.

Mohd Noor berkata lokasi saringan kali ini tertumpu di Dataran Otomobil berikutan kawasan berkenaan mempunyai banyak asrama pekerja asing selain menjadi lokasi tumpuan orang awam.

“Sebolehnya kita mahu lebih ramai bukan warganegara disaring memandangkan mereka ini tinggal dalam komuniti bersama penduduk tempatan.

“Sudah tentu program ini tidak akan berjaya sekiranya golongan berkenaan diabaikan,” katanya.


Pengarang :