BUDAYARENCANA

Selera kosa kata

Oleh Qilrif

Ilustrasi Matarojit

TERSIAR sepotong berita kecil pada lembar akhbar tempatan yang mungkin terlepas daripada pemerhatian orang ramai. Berita itu merakam detik seorang Yang Dipertua Dewan Rakyat menegur seorang wakil rakyat kerana menyebut seseorang yang tidak lagi menjawat menteri kewangan dengan gelaran mantan. Kata yang dipertua, mantan bererti “manusia tanpa kerja”. Berita tersebut turut menambah bahawa mantan asalnya dari negara jiran dan merupakan singkatan “mundar-mandir tanpa jawatan”. 

Ini bukanlah kali pertama yang dipertua meluahkan rasa kurang gemarnya pada kata tersebut. Jika ditelusuri lebih jauh, beliau pernah berkata sedemikian pada 2011. Hampir sepuluh tahun menolak kata “mantan”. Kegigihan yang luar biasa!

Apakah penolakan ini suatu yang wajar? Jika kita merujuk badan bahasa negara jiran, mantan diusulkan sebagai ganti yang lebih neutral sifatnya berbanding “bekas” untuk merujuk seseorang. Kata tersebut terakam dalam bahasa daerah mereka (bahasa Basemah, Komening, dan Rejang) dengan makna tidak berfungsi lagi. Misalnya, penghulu mantan bererti penghulu yang tidak berfungsi lagi. Berfungsi dalam ragam bahasa jiran mendukung erti berkedudukan atau bertugas sebagai (…). Misalnya, kepala kantor wilayah berfungsi sebagai menteri di daerah. Badan bahasa tersebut turut menjelaskan bahawa “bekas” masih digunakan tetapi bukan untuk seseorang yang wajar dihormati seperti (bekas) penjahat ulung atau (bekas) diktator. Apakah erti tidak berfungsi (bertugas) lagi sama dengan manusia tanpa kerja? Pastinya jauh sekali. 

Berbalik pada sangkaan bahawa mantan itu singkatan “mundar-mandir tanpa jawatan”, setelah berusaha mencari sumber berwibawa dan sahih yang dapat dijadikan sandaran, saya gagal menemukannya. Singkatan ini hanya disebut-sebut dalam blog atau berita yang memetik ucapan seorang ahli politik. Kebarangkalian besar hanya ciptaan untuk memenuhi tugas penyedap bicara. Contoh lazim dalam masyarakat kita dapat dilihat apabila seseorang berkongsi ‘fakta’ iaitu kata bomba sebenarnya singkatan badan operasi mencegah bencana alam. ‘Fakta’ ini tiada sandaran kukuh tetapi masih disebut-sebut di sana sini kerana dapat menimbulkan rasa teruja sang pendengar. Yang sebenar-benarnya, jika kita merujuk dokumen di laman Jabatan Bomba dan Penyelamat, bomba satu kata serapan daripada bahasa Portugis iaitu “bombeiros”.

Maka, mantan tidaklah seperti yang diperkatakan. Kata itu tidak mendukung erti manusia tanpa kerja mahupun mundar-mandir tanpa jawatan. Apakah penolakannya wajar? Pada hemat saya, tidak. Apakah ini bermakna siapa-siapa boleh menggunakannya pada bila-bila masa di mana-mana jua? Pada hemat saya, tidak.

Bermacam ragam

Sama ada boleh atau tidak menggunakan sesuatu perkataan, kita harus cakna tentang gaya yang dipakai dalam sesuatu keadaan. Tahukah kamu apa wakil rakyat tersebut buat setelah ditegur kerana menggunakan kata mantan? Beliau terus menggantikan “mantan” menjadi “bekas” dalam ucapan penggulungannya. Itu sahaja. Ini bermakna beliau tahu bahawa di dewan yang dikelola yang dipertua sekian-sekian, “mantan” perlu dihindari. Di tempat selain dewan itu seperti sidang media, wawancara di radio swasta, atau siaran di media sosial tiada halangan untuk menggunakan kata tersebut.

Penggunaan sesuatu kata memang tertakluk pada gaya seseorang atau sesebuah badan. Perkara ini bukan baharu atau terpencil. Di mana-mana sahaja ada. Ada syarikat media yang pernah menghindari kata “terlibat”, gantinya “terbabit”. Ada pertubuhan amal menjauhi kata “gelandangan” dan lebih mesra dengan rangkai kata “miskin kota”. Ada badan perbukuan tertentu mengutamakan “ahli sains” berbanding saintis. Ada bahasawan yang mempertahan ejaan istirehat, bier, dan mengenepikan ketika menterjemah kamus Inggeris berbanding bentuk yang dibakukan iaitu istirahat, bir, dan mengetepikan. Ada pensyarah di universiti tertentu memilih bentuk ejaan “mel-e” bukannya “e-mel”. Jika di sekolah, pastinya acuan penulisan dan ejaan mengikuti pedoman gaya yang diwartakan badan bahasa negara.

Malah, di luar lingkungan syarikat, pertubuhan, bahasawan, pensyarah, dan sekolah, jika diperhatikan cara berbahasa orang-orang biasa, kita akan dapati ada yang lebih mengutamakan “khinzir” berbanding “babi”. Jika terpaksa juga sebut, mereka akan mengeja b-a-b-i atau ba-alif-ba-ya. Bahkan, ada yang menghindari kedua-duanya sekali dan memilih “kerbau pendek” sebagai ganti.

Semua itu bernaung di bawah payung gaya—sama ada peribadi (untuk seseorang) atau dalaman (untuk sesebuah badan). Keputusan sesebuah badan atau seseorang untuk memilih kata atau bentuk kata tertentu dalam merangka gaya tersendiri tidaklah menjadikan bentuk atau kata lain salah. Masih sah jika ada orang menulis “terlibat” atau “saintis” dan mengeja “istirahat atau “mengetepikan”. Akan tetapi, jika berkarya di bawah naungan badan atau orang tertentu, seseorang perlulah ikut gaya yang ditetapkan. Seperti yang dilakukan wakil rakyat setelah ditegur di dewan.

“Gaya yang bermacam-macam ini akan menimbulkan ketidakseragaman. Ini akan mengelirukan orang, terutama sekali pelajar, dan merosakkan bahasa Melayu!”. Untuk menjawab penyataan ini, pertama sekali, anggap sahaja gaya yang bermacam-macam ini sebagai kerencaman, bukan ketidakseragaman. Seterusnya, namanya pun pelajar, pasti mereka akan belajar untuk menyesuaikan diri dengan apa-apa gaya sekalipun, di mana-mana jua mereka berada. Biarpun di sekolah gayanya lain, di universiti pula lain, dan di tempat kerja pun lain. Akhir sekali, hayatilah kata-kata bahasawan yang disegani, Profesor Emeritus Dato’ Dr Asmah Haji Omar: “Tidak ada bahasa yang hidup yang dapat terus seragam sepanjang masa, terutama sekali bahasa yang ‘sedang tumbuh membesar’ seperti bahasa Melayu.”

Kita hormati dan terima sahaja kerencaman gaya yang ada. Jika kita boleh menerima kerencaman, misalnya, dalam masakan (laksa Johor, Sarawak, Terengganu, dan lain-lain) atau muzik (jaz, tradisional, rancak, dan lain-lain), mengapa tidak kerencaman gaya bahasa? Kerencaman tidak akan sama sekali melemahkan atau mengganggu gugat bahasa Melayu. Malah sebaliknya, akan memperkaya kosa kata bahasa Melayu. Untuk sesuatu perkara atau benda, kita ada beberapa bentuk kata untuk memerihalkannya. Meskipun ada yang mengutamakan bentuk A dan ada yang mengutamakan bentuk B, di luar belenggu gaya mereka, kita bebas memilih bentuk A atau B jika berkarya secara peribadi kerana, ya, itu gaya kita!


Pengarang :