Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 30 Mac 2021. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sembilan kes pencemaran diatasi, elak bekalan air terjejas – MB

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menangani sembilan kes pencemaran sejak Januari hingga 22 Mac lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata dalam tempoh itu tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dilaporkan sekali gus mengelak gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri melalui LUAS dan semua agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah, Jabatan Alam Sekitar (Jas), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara serta Pengurusan Air Selangor sentiasa bersiap-siaga serta pro aktif.

“Langkah pencegahan iaitu pemantauan 24 jam dan berkala dilaksanakan untuk memastikan sumber air negeri terutamanya sungai terpelihara dan bekalan air kepada pengguna tidak terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook LUAS turut disertai Pengarahnya, Hasrolnizam Shaari dan Pengarah Jas, Nor Aziah Jaafar.

Sementara itu, LUAS memaklumkan sepanjang tahun lalu, 19 daripada 29 kes pencemaran berjaya ditangani tanpa berlaku henti tugas LRA.

Bagaimanapun, baki 10 kes menyebabkan henti tugas sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna.


Pengarang :