AGENDANASIONAL

Sensor 3D baharu kurangkan masa menunggu di KLIA

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Sistem Pengurusan Barisan Automatik (AQMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL sedang menggunakan teknologi sensor 3D untuk mengurus dan mengurangkan masa menunggu di bawah 10 minit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata AQMS memanfaatkan teknologi Internet Pelbagai Perkara (IoT) dalam mengira jumlah orang di ruang tertentu dan memantau kesesakan secara proaktif.

“Oleh itu, AQMS juga bertindak sebagai langkah pencegahan terbaharu lapangan terbang dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan membolehkan penjarakan selamat serta pematuhan kepada norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fasa pertama AQMS telah disiapkan untuk semua pusat pemeriksaan saringan keselamatan termasuk di pintu berlepas.

Sistem ini akan dilaksanakan di semua titik sentuhan kritikal dan fasa seterusnya sedang dipasang untuk daftar masuk, imigresen serta kastam, yang dijangka disiapkan menjelang Jun depan.

Selain itu, menurut Mohd Shukrie lagi, sebagai sebahagian daripada transformasi Lapangan Terbang 4.0, dan pada tahap seterusnya, data mengenai masa menunggu daripada AQMS akan diintegrasikan ke dalam Skrin Paparan Maklumat Penerbangan dan aplikasi “MYAirports” bagi membolehkan penumpang merancang perjalanan mereka di lapangan terbang dengan lebih baik.

AQMS menggunakan sensor 3D yang memantau keadaan masa nyata daripada perubahan dalam suhu serta pencahayaan kepada algoritma kompleks yang secara automatik mengesan tempoh menunggu dan beratur yang panjang.

Maklumat masa nyata ini kemudiannya disalurkan ke Pusat Kawalan Operasi Lapangan Terbang, yang mana sumber boleh dikerahkan bagi membantu memastikan perkhidmatan yang pantas dan aliran penumpang yang lebih lancar.

“Kawalan khalayak dapat dijalankan secara berkesan mengikut SOP bagi meyakinkan penumpang mengenai keselamatan mereka walaupun terpaksa beratur panjang.

“Akhirnya, kami kekal fokus kepada perjalanan ke arah Lapangan Terbang 4.0 kami termasuk pada masa yang sama, meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :