Datuk Razarudin Husain (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 872 ketulan dadah jenis ganja seberat 865.7 kilogram yang dirampas dalam lapan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 15 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Sindiket dadah antarabangsa tumpas, syabu lebih RM22 juta dirampas

GEORGE TOWN, 1 MAC: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas syabu sebanyak 623.76 kilogram (kg) yang bernilai RM22.46 juta dan menahan lima lelaki dalam siri serbuan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor pada Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata polis berjaya membongkar kegiatan sindiket didalangi lelaki dari Acheh, Indonesia itu selepas dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang membuat rondaan di Jalan Kebun Nanas, Bukit Mertajam melihat sebuah lori mencurigakan di situ pada 2 pagi.

“Dua anggota URB berpangkat koperal itu melihat sebuah lori dalam keadaan mencurigakan dan ketika mereka mahu memeriksa, dua daripada tiga lelaki yang berada di situ melarikan diri manakala seorang lagi lelaki dari Acheh berumur 23 tahun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan awal polis merampas 495 bungkusan mengandungi syabu di dalam lori itu, semasa serbuan tersebut terdapat sebuah kereta jenis Honda BRV yang lampu hadapan menyala untuk menyuluh tiga lelaki tersebut menjalankan kerja memindahkan dadah terbabit ke dalam beg untuk dimasukkan ke dalam kenderaan (Honda BRV),” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 101 bungkus syabu di ruang khas yang diubah suai pada bahagian bawah papan lantai lori berkenaan sebelum menyerbu sebuah kondominium mewah di Juru Central dan merampas lima lagi bungkusan syabu di situ.

Razarudin berkata siasatan mendapati tiga lelaki dari Acheh itu tinggal di negeri ini sejak Mac tahun lepas untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan sindiket di sini, dan mereka mendapatkan bekalan daripada sindiket di Thailand sebelum menghantar ke Acheh menggunakan jalan laut.

Katanya semasa serbuan itu, semua dadah berkenaan baru tiba dari Kelantan dengan menggunakan lori dipandu seorang lelaki dan pemandu berkenaan memaklumkan kepada polis di sekatan jalan raya (SJR) yang dia ingin ke Pulau Pinang untuk mengambil barangan keperluan.

“Dalam pemeriksaan polis (di SJR) memang tiada sebarang barangan yang dibawa di dalam lori itu kerana semua dadah tersebut disembunyikan di ruangan khas di bahagian bawah papan lantai kenderaan tersebut, semua dadah dirampas itu disimpan di kondominium sebelum separuh daripadanya diedarkan untuk pasaran tempatan manakala yang selebihnya dibawa ke Acheh menggunakan jalan laut,” katanya.

Beliau berkata ekoran serbuan itu, polis menahan tiga lelaki di Kulai dan Seri Alam, Johor bermula 2 petang hingga 5.45 petang hari yang sama sebelum menahan seorang lagi lelaki di Sungai Buloh, Selangor yang kesemuanya berumur 27 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan. Seorang daripadanya adalah pemandu lori.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak Jun tahun lepas dan mempunyai rangkaian pengedaran dadah di luar negara serta kesemua 623.76 kg dadah bernilai RM22.46 juta yang dirampas itu boleh digunakan kira-kira 3.11 juta penagih.

“Rampasan itu merupakan yang terbesar JSJN sejak lima tahun lepas dan polis juga telah mengenal pasti identiti dua lelaki yang melarikan diri iaitu Zulfikar, 33, serta rakannya Hafis Fareza, 21. Mereka dipercayai masih berada di Malaysia dan kami juga telah berhubung dengan Polis Indonesia bagi mengesan dua suspek tersebut,” katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati kesemua lima lelaki itu negatif dadah dengan hanya seorang sahaja mempunyai rekod lampau dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :