Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan serbuan di asrama penginapan pekerja asing di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2021. Foto Facebook SPAN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SPAN serbu asrama pekerja asing curi bekalan air

SHAH ALAM, 12 MAC: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah asrama pekerja asing di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur semalam selepas didapati melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan operasi dilakukan selepas menerima aduan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kes disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Premis diserbu adalah penginapan pekerja projek pembinaan fasiliti pengangkutan yang dihuni hampir 800 individu.

“SPAN mendapati mereka mendapatkan bekalan melalui satu meter air tidak sah dan semakan menjelaskan  ia tiada dalam rekod Air Selangor bagi asrama berkaitan,” katanya.

Katanya, semakan lanjut turut membuktikan meter air itu telah dinyahtauliah dan berasal dari lokasi tapak pembinaan lain.

“Hasil ujian klorin dilakukan di premis itu mengesahkan bekalan diterima adalah air terawat,” ujarnya.


Pengarang :