AGENDANASIONAL

Speaker kesal alasan remeh diguna lengahkan Undi 18

SHAH ALAM, 28 MAC: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) meminta alasan remeh tidak digunakan bagi menangguh kebenaran individu berusia 18 tahun (Undi 18) mengundi.

Ng Suee Lim berkata penangguhan kerana negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin blok kerajaan.

“Keputusan menangguhkan Undi 18 bercanggah dengan perlembagaan kerana perkara ini diluluskan oleh 211 daripada 222 ahli parlimen di Dewan Rakyat pada 2019.

“Persoalannya kenapa PN takut dengan undi anak muda, jangan gunakan macam-macam alasan untuk kekal berkuasa,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.


Pengarang :