AGENDANASIONAL

Suasana kem Harimau Malaya positif – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Di sebalik kontroversi insiden saat-saat akhir perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan Johor Datul Ta’zim (JDT) malam tadi, suasana di kem Harimau Malaya kekal positif.

Malah, ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menegaskan isu tersebut langsung tidak menjejaskan moral pemain, sebaliknya masing-masing ceria kerana dapat berjumpa rakan sepasukan selepas tidak bertemu lebih setahun sejak November 2019.

“Memanglah ada sedikit ketegangan, tetapi selepas perlawanan itu kami semua bersama-sama untuk mewakili negara,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Pemain skuad kebangsaan kini berada di kem latihan pusat di Johor Bahru bagi menjalani latihan bermula hari ini.

Cheng Hoe menyenaraikan 17 pemain kebangsaan yang bermain dalam dua perlawanan terakhir saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada November 2019 serta 11 lagi termasuk pemain naturalisasi terbaharu negara Guilherme de Paula.

Terdapat 13 pemain JDT dan dua daripada Perak FC dalam pasukan kebangsaan yang menjalani latihan pusat itu.

Jurulatih berusia 52 tahun berkenaan juga berkata setakat ini terdapat 26 pemain di kem itu dan dijangkakan dua lagi pemain daripada pasukan Terengganu FC tiba malam ini, sekali gus melengkapkan senarai 28 pemain beliau.

Cheng Hoe juga mengesahkan pasukannya sedang menunggu laporan perubatan daripada JDT susulan kecederaan yang dialami Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Selatan itu menentang Perak FC di Ipoh malam tadi.

Namun katanya beliau mempunyai beberapa pemain dalam senarai menunggu untuk mengisi kekosongan sekiranya Sumareh tidak boleh menyertai kem latihan itu.

Beliau juga tidak berhasrat mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia sebaliknya mahu menumpukan pada latihan itu.

“Saya harap pemain tidak akan mengalami sebarang kecederaan selepas bermain dalam jadual liga yang padat. Saya cuma mahu mewujudkan persefahaman dalam kalangan pemain selain membolehkan mereka kembali mesra selepas lebih setahun tidak berjumpa,” katanya.

Mengenai de Paula, jurulatih itu berharap dua gol yang disumbangkan oleh pemain kelahiran Brazil tersebut ketika menentang JDT malam tadi akan memberikannya keyakinan untuk bermain selepas mengharungi lima perlawanan tanpa menjaringkan gol sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap kem latihan pusat tersebut berjalan lancar dengan Cheng Hoe dapat meningkatkan persefahaman serta tahap dan corak permainan pasukan untuk beroleh kejayaan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand pada Jun depan.

Hamidin pada masa sama turut berterima kasih kepada JDT atas kesudian pasukan berkenaan berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.

“Diharap ini menjadi contoh kepada kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan lengkap seperti ini, kerana pada akhirnya sudah pasti akan membantu meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan tahap bola sepak negara secara keseluruhan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :