DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan pertegas jaga sensitiviti agama lain, jaga perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 23 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah agar semua lapisan rakyat menghormati agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti hingga boleh merosakkan perpaduan kaum.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan hari ini, Baginda mengulas isu kalimah Allah yang berbangkit semula susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengizinkan perkataan tersebut dipakai oleh penganut Kristian.

Sebagai ketua agama bagi Selangor, Baginda menegaskan perkataan Allah tetap dilarang digunakan oleh bukan Islam di negeri ini dalam Bible berbahasa Melayu dan juga sebarang penerbitan mereka.

“Apa gunanya Beta menjadi ketua agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri,” titah Baginda lagi.

Baginda turut menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menggesa kerajaan persekutuan merayu keputusan mahkamah tersebut.

Sultan Selangor juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memohon mahkamah untuk bertindak sebagai pencelah dalam rayuan tersebut dan menggesa majlis agama Islam negeri-negeri lain mengambil tindakan sama.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Hakim memutuskan penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.


Pengarang :