Sultan Selangor menyeru umat Islam menjadikan peristiwa Israk Mikraj sebagai panduan dan pengajaran dalam kehidupan. Foto: Facebook Selangor Royal Office
AGAMAAGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru umat Islam hayati, ambil pengajaran Israk Mikraj

SHAH ALAM, 11 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru umat Islam mengambil pengajaran peristiwa Israk Mikraj dalam kehidupan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perjalanan agung Nabi Muhammad SAW pada malam 27 Rejab itu bukan peristiwa biasa sebaliknya memenuhi jemputan Allah SWT.

Titah baginda perjalanan itu berlaku selepas Nabi Muhammad menempuh pelbagai ujian antaranya kewafatan isteri, Khadijah Khuwailid RA dan bapa saudaranya, Abu Talib yang banyak mempertahankan dakwahnya.

“Jemputan Allah itu menggantikan kesukaran dan kesakitan ditanggung Nabi Muhammad dengan kegembiraan dan keyakinan. Inilah yang perlu difahami setiap muslim.

“Kesusahan ketika bekerja akan diganti dengan kemanisan upah ganjaran. Keperitan belajar bakal diganti dengan kemudahan masa hadapan manakala kegetiran mempertahankan aqidah pula diganti dengan nikmat pahala dan syurga,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah kemuncak perjalanan berkenaan juga menjadikan 50 solat waktu diringankan kepada lima waktu setelah dipohon Nabi Muhammad atas cadangan dan nasihat Nabi Musa.

“Dengan rahmat Allah SWT akhirnya hanya lima waktu solat sahaja dalam sehari namun fadhilat dan pahalanya menyamai 50 waktu sebagaimana dinyatakan dalam hadis.

“Sesungguhnya perjalanan agung ini bukan sekadar perjalanan dan kisah tetapi perjalanan keimanan, ketaqwaan dan kehambaan. Ia menuntut amal dan tindakan mematuhi perintah Allah,” titah baginda.


Pengarang :