AGENDANASIONAL

Sultan sokong Johor gesa kerajaan rayu keputusan mahkamah isu kalimah Allah

SHAH ALAM, 23 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang menggesa Kerajaan Persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

“Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh DYMM Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan media hari ini, Sultan Selangor juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk memohon mahkamah itu sebagai pencelah dalam rayuan tersebut.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mahu Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut Kristian bagi tujuan pendidikan.

Dalam kenyataan media sama, Sultan Selangor bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Negeri Selangor,” titah Baginda.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Baginda bertitah kalimah Allah itu hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi pegangan akidah umat Islam.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam,” titah Baginda lagi.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Nor Bee dalam penghakimannya, berkata penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.

 


Pengarang :