AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan sukacita lebih 90 peratus petugas hadapan terima vaksin

SHAH ALAM, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa sukacita apabila lebih 90 peratus petugas barisan hadapan hospital kerajaan di negeri ini sudah mendapat vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah suntikan  vaksin itu membabitkan doktor, jururawat, pemandu ambulan dan kakitangan sokongan perubatan.

“Difahamkan bahawa lebih daripada 50 peratus petugas hospital swasta di Selangor juga telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Beta gembira dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap petugas kesihatan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan,” titah baginda.

Kenyataan itu juga memaklumkan Sultan Selangor sentiasa mendapatkan perkembangan terkini dari Pengarah Kesihatan Negeri,  Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

“Beta turut berasa sukacita dan memuji petugas barisan hadapan khususnya di hospital Selangor yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga kini,” titah baginda lagi.


Pengarang :