AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sungai Bernam potensi baru sumber bekalan air Lembah Klang

SHAH ALAM, 13 MAC: Lembangan Sungai Bernam berpotensi menjadi sumber bekalan air utama kepada penduduk di Lembah Klang, kata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Berdasarkan kajian, anggaran kapasiti air sehingga 2,000 juta liter sehari dari sungai itu mampu menyalurkan bekalan air.

“Lembangan Sungai Bernam adalah lembangan sungai terbesar di Selangor dan ketika ini menjadi sumber air utama sistem pengairan padi bagi Projek Barat Laut Selangor iaitu di daerah Sabak Bernam,” lapor Kosmo.

LUAS menjelaskan, Sungai Bernam turut membekalkan air kepada empat loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Kalumpang, LRA Sungai Selisik, LRA Sungai Dusun dan LRA Bernam River Headwork (bekalan air dan pengairan) dengan jumlah anggaran kapasiti air di semua LRA ini adalah 50 juta liter sehari.

Bagaimanapun, agensi itu berkata kegiatan yang dijalankan berdekatan Sungai Bernam menyebabkan berlakunya beberapa isu pengurusan kualiti air sungai.

Katanya, antara insiden henti tugas LRA Sungai Selisik sebelum ini akibat pelepasan efluen daripada penternakan, kemalangan lori tangki minyak diesel hingga berlaku tumpahan minyak.

“Justeru menjadi keperluan untuk menguruskan lembangan sungai itu secara holistik bersama kerajaan negeri Perak dalam menangani isu pencemaran yang melibatkan kawasan pensempadanan,” katanya.

Sungai Bernam terletak di kawasan lembangan seluas 3,335 kilometer persegi dan sepanjang 216 kilometer. Sungai itu berpunca dari Gunung Liang Timur yang menjadi titik sempadan antara Selangor, Perak dan Pahang.

Kira-kira 35 peratus sungai itu berada di Selangor, manakala selebihnya di Perak.

Ketika ini dianggarkan lebih 60 peratus sumber air utama di negeri ini berpunca dari Sungai Selangor, manakala Sungai Langat (20 peratus) dan Sungai Klang (10 peratus).


Pengarang :