Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Syarikat insurans perluas bantuan tunai disebab kesan sampingan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebahagian besar syarikat insurans hayat di negara ini memperluaskan bantuan kewangan kepada pemegang polisi yang mendapat kesan sampingan atau komplikasi sehingga dimasukkan ke hospital susulan pemvaksinan Covid-19.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata perlindungan itu termasuk kos dimasukkan ke hospital yang memerlukan dari segi perubatan dan munasabah susulan kesan sampingan pemvaksinan Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sejumlah syarikat insurans hayat turut menawarkan program bantuan tunai untuk kesan sampingan di bawah dana vaksin Covid-19 masing-masing atau program bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bantuan itu termasuk pembayaran semula bil perubatan kepada pesakit Covid-19 dan sokongan pemvaksinan pasca Covid-19 bagi kemasukan ke hospital susulan kesan sampingan vaksin; bantuan perubatan dan manfaat kematian khas; pendapatan kemasukan ke hospital; dan bantuan tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell menasihatkan pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bantuan yang ditawarkan sekiranya mereka mendapat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.

Sambil memuji usaha proaktif kerajaan untuk melindungi rakyat, beliau turut menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing bagi memerangi Covid-19 dengan membuat pendaftaran bagi program imunisasi itu di aplikasi MySejahtera.

– BERNAMA


Pengarang :