Shatiri Mansor (kanan) meninjau insiden banjir kilat sekitar DUN Kota Damansara. Foto ihsan Shatiri Mansor
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tangani banjir kilat Kota Damansara, penduduk dapat pampasan

SHAH ALAM, 11 MAC: Wakil rakyat Kota Damansara merangka inisiatif khas demi memastikan banjir kilat tidak berulang pada masa depan.

Mengikut Shatiri Mansor, satu projek tebatan banjir akan dimulakan dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan pihaknya dalam proses rundingan bersama penduduk setempat bagi menggerakkan inisiatif tersebut.

“Berkemungkinan projek akan kita mulakan pada suku pertama atau pertengahan tahun ini.”

“Penduduk yang terlibat dengan pemindahan akibat projek itu nanti akan diberi pampasan dan dapat Rumah Selangorku,” katanya kepada SelangorKini.

Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjelaskan banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Pelempas ke Kampung Melayu Subang.

Atasi nahas maut

Wakil rakyat sejak 2018 juga peka terhadap isu kesesakan lalu lintas ekoran pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Da-mansara-Shah Alam (DASH) belum siap.

Lebih merumitkan keadaan, sebahagian projek laluan di Persiaran Atmosfera yang dibina sejak 2009 juga belum selesai sepenuhnya.

“Saya harap kerja menyiapkan projek disegerakan kerana ia mengakibatkan jalan sesak, malah ada nahas yang menyebabkan kematian. Malah, empat atau lima penunggang motosikal maut akibat terlanggar halangan yang diletak di sana,” katanya.

Pintu terbuka

Shatiri turut mengambil maklum isu ekonomi rakyat dan masalah penduduk golongan berpendapatan rendah di Program Perumahan Rakyat (PPR).

Justeru, beliau mewujudkan bantuan kecemasan melalui sumbangan dalam bentuk barang keperluan asas seperti barangan dapur dan kewangan bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Penduduk PPR Kota Damansara menunjukkan baucar program Bingkisan Mesra Selangor inisiatif Kerajaan Negeri pada 2 Mac 2021. Foto Facebook Shatiri FanClub-Kota Damansara

“Saya buat konsep pintu terbuka, mereka boleh jumpa saya tanpa perlu buat janji temu. Saya ada slot setiap hari Rabu dari jam enam petang hingga tujuh malam di Pusat Khidmat DUN Kota Damansara,” katanya.

Beliau juga membuat sistem aduan melalui laman sesawang shatirimansor.com dan talian 012-998 7220 bagi memudahkan penduduk menghubungi pegawainya.

“Semua orang boleh buat aduan dan saya terima tanpa mengira ideologi politik. Supaya lebih mesra rakyat, kita juga ada Facebook Shatiri Mansor Fan Club,” katanya.

Beliau juga berharap Kerajaan Negeri dapat menyiapkan dua masjid di Kota Damansara 2 dan Subang Bestari bernilai RM30 juta berikutan masalah perancangan. Perkara itu telah dibangkitkan dalam sidang dewan negeri.

“Saya juga mengharapkan bidang aeroangkasa di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang Skypark) dapat diperkasakan,” katanya yang 23 tahun berpengalaman sebagai jurutera dalam bidang itu.

Bertanding mewakili Parti Keadilan Rakyat, beliau pada pilihan raya lalu menang dengan majoriti 15,703 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, PAS dan Parti Sosialis Malaysia.

Kota Damansara merupakan sebuah Dewan Undangan Negeri yang berada bawah parlimen Sungai Buloh.


Pengarang :