Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pelancaran Di Ambang Ramadan di Restoran Kak Anie Shellrock, Shah Alam pada 29 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tangguh Undi 18 bukti kerajaan tiada iltizam politik lihat perubahan

SHAH ALAM, 30 MAC: Penangguhan Undi 18 membuktikan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tiada iltizam politik untuk melihat perubahan ke arah lebih baik.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut tidak sepatutnya ditangguhkan kerana ia bukan isu terburu-buru dan sudah dibincangkan sejak 2018 sebelum diluluskan pada Julai 2019.

“Sebab itu saya amat menitikberatkan iltizam politik. Kalau pemerintah mempunyai keinginan tersebut, sudah pasti mereka akan menggerakkan badan seperti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk melaksanakannya.

“Tetapi jika tiada, itu yang jadi tertangguh (Undi 18). Kalau mahu buat, boleh dengan pelbagai alasan dan begitu sebaliknya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Tabung Infaq Ramadan sempena Di Ambang Ramadan di sebuah restoran di Tasik Shah Alam di sini malam tadi.

Amirudin menjelaskan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 sewajarnya dijayakan bersesuaian dengan semangat demokrasi dan SPR pasti mempunyai perancangan bila serta bagaimana untuk melaksanakannya.

Sebelum ini, suruhanjaya tersebut mengumumkan Undi 18 yang dijadual bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.


Pengarang :