AGENDANASIONAL

Tekanan kos dorong bank teliti kongsi ATM

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Faktor tekanan kos kini menyebabkan bank-bank di kebanyakan negara meneliti langkah untuk berkongsi kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi mengekalkan akses tunai sambil mengurangkan kos operasi, demikian menurut firma penyelidikan strategik dan khidmat rundingan, RBR.

Dalam laporan Unjuran dan Pasaran ATM Global RBR hingga 2025, beberapa negara telah menyaksikan perkembangan seperti penurunan permintaan wang tunai secara berterusan, trend pertumbuhan e-dagang ketika pandemik Covid-19 serta kebimbangan mengenai aspek kebersihan dalam pengendalian tunai.

“Bagaimanapun, masih terdapat bank-bank berminat untuk terus menawarkan perkhidmatan tunai manakala segelintir kerajaan pula mahukan akses terhadap wang tunai ini bagi kemudahan semua komuniti, terus terjamin,” kata RBR dalam satu kenyataan pada Jumaat.

RBR berkata, langkah perkongsian kemudahan ATM itu juga memerlukan pihak terbabit melepaskan pemilikan mesin ATM kepada pihak tunggal.

“Ini dapat mengurangkan kos bagi bank-bank individu dan membolehkan mereka terus menyediakan khidmat untuk pelanggan di lokasi yang kurang permintaan dan menyebabkan kewujudan cawangan atau jumlah ATM yang banyak dilihat sebagai pembaziran.

“Kaedah ini misalnya telah berjaya dilaksanakan di Finland dan Sweden,” kata RBR.

Menurutnya, tiga bank terbesar di Netherlands juga sedang dalam proses memindahkan ATM masing-masing bagi kendalian rangkaian Geldmaat.

Jelas RBR, Geldmaat yang ditubuhkan pada 2011 sebagai anak syarikat pengurusan tunai secara bersama, terbukti telah berkembang sebagai pihak pengendali terkumpul atau perkongsian ATM secara sepenuhnya.

Walaupun Eropah menempatkan banyak kemudahan sedia ada dan baharu, penyelidikan RBR itu turut mendapati pencapaian itu juga ketara di rantau-rantau lain.

“TecBan yang mengendalikan rangkaian perkongsian ATM di Brazil, telah mengambil alih sebahagian besar kemudahan ATM luar kawasan yang bertindih serta terbukti dapat meningkatkan kecekapan dan keselamatan berkaitan,” katanya.

Menurut firma itu, pasaran yang tidak melaksanakan kaedah itu sebaliknya menyaksikan kepesatan usaha perkongsian ATM menerusi rangkaian pelbagai bank.

“Penyelidikan RBR menunjukkan pelbagai pendekatan telah dilaksanakan di pasaran berbeza dengan kemudahan rangkaian ATM yang mantap dan membolehkan transaksi antara bank. Malah, ada segelintir bank yang turut memanfaatkan perjanjian dua hala atau pelbagai hala bagi menawarkan transaksi dengan fi percuma kepada pelanggan masing-masing,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :