Pekerja warga asing berdiri di hadapan pasar yang ditutup ketika penularan wabak Covid-19 di Samut Sakhon, Thailand pada 20 Disember 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Thailand catat kes baharu Covid-19 tiga angka

BANGKOK, 17 MAC: Thailand mencatat sejumlah 149 jangkitan baharu Covid-19 termasuk 100 kes di Bangkok dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu setakat ini ialah 27,154 kes dan 87 kematian.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) memaklumkan daripada 149 kes baharu itu, 123 dikesan melalui pengesanan kes aktif, 21 merupakan individu yang mendapatkan rawatan di hospital manakala lima adalah kes import.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) pula berkata kluster baharu Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan pasar di pinggir Bangkok telah mencatat 224 kes setakat ini.

Ia berkata enam pasar di daerah Bang Khae telah diarahkan tutup sehingga Khamis untuk kerja-kerja disinfeksi.

Bagi menghalang penularan Covid-19 di Bang Khae, BMA merancang memvaksinasi kumpulan berisiko tinggi di kawasan itu.

Jurucakap BMA Pongsakorn Kwanmuang berkata 500 hingga 600 orang akan divaksinasi setiap hari mulai Rabu ini di hospital.

BMA telah meningkatkan pengesanan kes aktif di Pasar Bang Khae dan lima lagi pasar di kawasan berhampiran iaitu Pasar Sirisetthnont, Pasar Kitti, Pasar Pasom, Pasar Wonder dan Pasar Mai Bang Khae.

BMA turut menggesa orang ramai yang berkunjung ke pasar terbabit dari 20 Feb hingga 13 Mac agar menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital kerajaan.

Empat unit bergerak turut diletak berhampiran pasar terbabit untuk membolehkan orang ramai menjalani ujian saringan.

Sejak pertengahan Disember tahun lepas, Thailand mengesan kluster baharu yang mempunyai kaitan dengan pasar terbabit iaitu Samut Sakhon dan Pathum Thani selain kluster terbaru di Bang Khae, Bangkok.

Ventilasi yang teruk disebut sebagai antara faktor penyebab penularan Covid-19 di pasar terbabit.

– BERNAMA

 


Pengarang :