Anggota polis wanita pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang pada 25 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TI-M gesa kerajaan tambah baik polis

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Kumpulan antirasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan untuk mengembalikan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pegawai yang rasuah dan melakukan pembaharuan dalam pasukan polis.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata pembaharuan dalam pasukan itu perlu dilakukan secara dalaman mahupun luaran.

“Sekiranya krisis rasuah dan salah laku yang didedahkan Ketua Polis Negara (KPN) terbukti, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai masalah dalaman dan hanya perlu diselesaikan mengikut pangkat pegawai terlibat,“ katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata suatu mekanisme pengawasan oleh sebuah badan yang benar-benar bebas daripada campur tangan politik yang mempunyai ‘kuasa” adalah penting untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota pangkat rendah dalam polis.

Justeru, beliau menggesa kerajaan meluluskan Rang Undang Undang IPCMC dan bukannya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), versi yang lebih ‘ringan’ demi untuk melakukan pembaharuan dalam pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapatnya gerakan dalam kalangan pegawai muda polis yang berusaha menjatuhkannya.

Beliau mendakwa bahawa kumpulan berkenaan berhasrat untuk menguasai pasukan polis untuk kepentingan peribadi, namun beliau memberi jaminan isu berkenaan terkawal dan dapat diselesaikan secara dalaman.

– BERNAMA


Pengarang :