Anggota polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang ditahan dalam operasi di Jalan Bangsar menghala pusat bandar pada 16 Jun 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada saman, kesalahan ekzos bising hanya diberi notis temu siasat

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Buat masa ini, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Wee yang juga presiden MCA berkata perkara itu dimaklumkan oleh beliau kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.

“Saya ingin maklumkan bahawa MOT (Kementerian Pengangkutan) telah membuat satu keputusan, bahawa pada peringkat ini lebih elok tumpukan kepada pendekatan advokasi iaitu dikeluarkan Notis 114 daripada tindakan saman,” katanya kepada media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno 2020 hari ini.

Notis 114 ialah notis panggilan temu siasat dan mereka yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Wee berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ bagi menyelaraskan tindakan advokasi tersebut memandangkan langkah berkenaan turut melibatkan polis trafik.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Setakat 5 Mac lalu, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Khas Ubah suai Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac, menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

– BERNAMA


Pengarang :