Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Tiga individu didenda langgar undang-undang PBT Kuala Langat

SHAH ALAM, 17 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengenakan tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang melakukan kesalahan di daerah itu semalam.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata individu pertama, juruteknik swasta didakwa kerana membuang bungkusan sampah daun di SP 1, Bandar Saujana Putra.

“Tertuduh dikenakan kompaun RM700 mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDKL) 2007 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, individu kedua yang mengusahakan sarang burung walit tanpa lesen didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 3(1)(a), Undang-Undang Penternakan Burung Walit (MDKL) 2013 dan didenda RM1,200.

Amirul menambah individu ketiga pula didenda RM500 di bawah Seksyen 74, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membiarkan kediaman dalam keadaan kotor dan bersemak di Taman Sri Putra.


Pengarang :