Penguat kuasa Pejabat Daerah Tanah Klang Mohd Hafifi Bin Abd Jalil, 34, memeriksa kawasan kilang yang dibina tanpa kebenaran di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang pada 11 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tindakan perundangan kilang gagal buat pemutihan

KLANG, 11 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengesan sebanyak 800 kilang beroperasi tanpa kebenaran di daerah ini termasuk berdekatan sungai.

Timbalan yang dipertuanya berkata semua premis tersebut gagal memenuhi syarat teknikal seperti status syarat tanah, pengezonan atau kebenaran merancang.

Menurut Elya Marini Darmin, kilang berkenaan gagal memberi kerjasama meskipun diberi tempoh sehingga Disember tahun lalu untuk menyertai program pemutihan.

“Justeru tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara bersepadu mengikut peruntukan perundangan,” katanya pada operasi meroboh kilang papan tanpa kebenaran di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang pagi tadi.

Sementara itu, beliau berkata kilang yang dibina atas tanah kerajaan boleh diroboh dalam tempoh 24 jam walaupun premis berkenaan bukan punca pencemaran sungai.

Setakat November lalu, sebanyak 5,589 kilang dikesan beroperasi tanpa kebenaran di seluruh negeri dengan 869 daripadanya terletak di hilir sungai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memberi tempoh sehingga 31 Disember 2020 untuk semua kilang melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.


Pengarang :