Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada penumpang dari Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tujuh hospital saring Covid-19 guna sampel air liur

PUTRAJAYA, 5 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tujuh hospital untuk menjalankan penilaian lapangan bagi penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini KKM masih menggunakan kaedah persampelan melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal), bagi mengesan kes-kes positif.

“Sekarang ni dah tahap penilaian dan kita harapkan kita akan dapat laporan yang lengkap sebelum kita boleh ketengahkan, iaitu kaedah pensampelan menggunakan air liur untuk menjalankan ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

“Kita harapkan dengan ujian ini akan memberikan ketepatan dan kejituan dalam pengesanan kes-kes positif,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata tujuh hospital tersebut ialah Hospital Kuala Lumpur; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu; Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Melaka; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan; dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Mengenai bekalan vaksin Covid-19 kepada hospital swasta, Dr Noor Hisham berkata setakat ini hanya pihak kerajaan sahaja diberi kuasa mendapatkan perolehan untuk memperolehi vaksin tersebut.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA

“…dan oleh kerana ada kekangan mendapatkan bekalan vaksin, kita khususkan pemberian vaksin kepada fasa pertama untuk petugas kesihatan dan barisan hadapan, diikuti fasa seterusnya.

“Buat masa ini, KKM juga telah menggunakan fasiliti hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin,” kata Dr Noor Hisham.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan membenarkan hospital swasta untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dan menjualnya kepada pelanggan mereka Dr Noor Hisham berkata, kerajaan sedang memberikan vaksinasi secara percuma untuk semua.

“Kita juga melihat kepada ekuiti, di mana keutamaan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi, kumpulan rentan dan barisan hadapan.

“Kita kini pada fasa pertama dan kita sedang berikannya kepada barisan hadapan. Diharapkan pada fasa kedua, kita mahu untuk meningkatkan pemvaksinan kepada golongan rentan.

“Apa yang paling penting ialah kita mempunyai bekalan yang mencukupi dan kemudiannya kita boleh gerakkannya bersama (hospital swasta) dalam melaksanakan vaksinasi secara besar-besaran,” katanya.

Sementara itu berkaitan kluster rumah jagaan warga emas beliau berkata, pada masa ini terdapat 15 kluster aktif dengan 610 orang dijangkiti virus ini (sejak gelombang pertama) melibatkan 583 warganegara Malaysia dan 27 kes melibatkan bukan warganegara.

“Jumlah mereka yang telah disaring di rumah penjagaan warga emas melibatkan 1,840 individu dan kadar kematian 1.48, iaitu tinggi sendikit daripada kadar kematian kebangsaan iaitu 0.38,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai sebahagian daripada strategi untuk melindungi kumpulan rentan, aktiviti berkumpul bersemuka telah ditangguhkan di rumah jagaan warga emas dan Kementerian Kesihatan juga menyediakan taksiran dan saringan dari semasa ke semasa di rumah-rumah terbabit.

-BERNAMA

 


Pengarang :