Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin AstraZeneca di Santiago, Republik Dominica pada 17 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Vaksin AstraZeneca dijangka tiba di Malaysia suku kedua 2021

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kumpulan pertama penghantaran vaksin Covid-19 AstraZeneca ke Malaysia dijangka tiba pada suku kedua tahun ini, demikian menurut sebuah syarikat farmaseutikal.

Presiden AstraZeneca bagi Malaysia Dr Sanjeev Panchal berkata syarikat itu akan terus memenuhi komitmennya dalam menyediakan akses yang meluas dan saksama tanpa keuntungan

“Kami menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk membantu membendung pandemik itu bagi membolehkan rakyat kembali hidup seperti biasa dan membuka laluan ke arah pemulihan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.

Hari ini, Vaksin Covid-19 AstraZeneca (AZD1222) telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat di Malaysia oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi imunisasi aktif individu berusia 18 tahun dan ke atas bagi mencegah Covid-19.

Dr Sanjeev berkata kelulusan itu menandakan satu lagi pencapaian penting susulan perjanjian bersejarah dengan kerajaan Malaysia bagi membekalkan sejumlah 6.4 juta dos vaksin Covid-19AstraZeneca kepada jutaan rakyat di negara ini.

Beliau berkata kelulusan itu diberikan berdasarkan penyerahan yang merangkumi keputusan analisis interim program Fasa 3 yang dikendalikan Universiti Oxford dan diterbitkan dalam The Lancet pada 8 Disember tahun lepas.

Katanya, kebenaran Malaysia adalah bagi dua regimen dos standard vaksin Covid-19 AstraZeneca yang menunjukkan ujian klinikal mampu bertoleransi dan berkesan dalam mencegah gejala Covid-19 tanpa kes teruk dan dimasukkan ke hospital melebihi tempoh 14 hari selepas dos kedua.

“Hari ini adalah hari yang kita nanti-nantikan… pendaftaran bersyarat ini akan memberikan akses untuk jutaan rakyat Malaysia kepada vaksin AstraZeneca yang berkesan, bertoleransi dan mudah digunakan sebaik sahaja bekalan boleh didapati,” katanya.

Dr Sanjeev berkata ujian klinikal mendapati ia adalah seratus peratus melindungi daripada penyakit yang teruk, dimasukkan ke hospital serta kematian, lebih 22 hari selepas pengambilan dos pertama yang menyaksikan setiap dos vaksin mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 76 peratus terhadap gejala Covid-19 dalam tempoh 90 hari pertama selepas vaksinasi.

Beliau berkata keberkesanan vaksin selepas pengambilan dos kedua lebih tinggi dalam tempoh lebih lama, mencapai 81.3 peratus dengan pengambilan dos selang 12 minggu atau lebih, dan penyelidikan turut menunjukkan bahawa ia mengurangkan jangkitan virus itu sebanyak 67 peratus.

“Vaksin itu boleh disimpan, diangkut dan ditangani dalam keadaan suhu sejuk yang biasa (dua hingga lapan darjah Celsius/36 hingga 46 darjah Fahrenheit) bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan… ia juga senang digunakan dalam keadaan penjagaan kesihatan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata vaksin itu telah mendapat kebenaran untuk digunakan di negara-negara Kesatuan Eropah, United Kingdom, Argentina, Republik Dominika, El Salvador, Mexico, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Oman, Mesir, Algeria, Maghribi dan benua Asia seperti India, Taiwan, Filipina, Thailand dan Vietnam.

-BERNAMA


Pengarang :