Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati pengguna tidak melakukan pembelian panik telur sehingga mengganggu bekalan di negara ini, susulan laporan penarikan balik telur keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Veterinar siasat ladang susulan tarik balik telur dari pasaran Singapura

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan siasatan terhadap ladang CES 008 Lay Hong di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti punca pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) pada telur.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu telah membuat daya jejak sumber jangkitan SE, menjalankan siasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan (pengawasan) penyakit di ladang.

Pada masa sama, DVS juga menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE.

“Telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperolehi. Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.

“DVS juga menjalankan siasatan dan ujian SE terhadap semua ladang milik syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladangnya adalah bebas SE. DVS tidak membenarkan kemasukan semula telur ‘recall’ CES 008 ke Malaysia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, DVS memaklumkan penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan bekalan telur dari lain-lain ladang ke negara itu dan bekalan untuk pasaran tempatan.

Selain itu, DVS memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Semalam, Bernama melaporkan Singapura telah mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong di Malaysia daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

DVS memaklumkan terdapat lebih 2000 spesies Salmonella dan gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah serta demam. Namun, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak produk berkenaan dengan sempurna.

Terdahulu, DVS memaklumkan jabatan itu telah membuat sesi libat urus bersama pihak pengurusan Lay Hong hari ini.

“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad. Hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

“Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” demikian menurut kenyataan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :