AGENDANASIONAL

Waktu operasi kaunter, pusat bayaran LHDN seperti biasa mulai esok

PUTRAJAYA, 4 MAC: Waktu operasi perkhidmatan percukaian kaunter setempat dan pusat bayaran di semua premis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara kembali beroperasi seperti biasa, mulai esok.

Menurut kenyataan LHDN hari ini, waktu operasi perkhidmatan percukaian bagi kaunter setempat di semua cawangan LHDN di seluruh negara kecuali Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah dari 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat.

Sementara bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, waktu operasi perkhidmatan percukaian bagi kaunter setempat ialah dari 8 pagi hingga 5 petang pada Ahad hingga Rabu dan dari 8 pagi hingga 3.30 petang pada Khamis.

Waktu operasi bagi perkhidmatan kaunter duti setem dan kaunter bantuan khas kerajaan di negeri-negeri selain Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor ialah pada Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 5 petang.

Di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor pula, perkhidmatan kaunter duti setem dan kaunter bantuan khas kerajaan akan beroperasi pada Ahad hingga Rabu dari 8 pagi hingga 5 petang manakala pada Khamis dari 8 pagi hingga 3.30 petang, demikian menurut kenyataan itu.

Bagi pusat bayaran Kuala Lumpur, waktu operasi bagi bayaran tunai dan kad kredit atau debit beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 4.30 petang adalah bagi bayaran selain tunai dan kad kredit atau debit.

Pusat bayaran Kota Kinabalu dan Kuching pula, operasi perkhidmatan bayaran tunai dan kad kredit atau debit adalah dari 8 pagi hingga 1 tengah hari bagi Isnin hingga Jumaat, manakala bagi bayaran selain tunai dan kad kredit atau debit, mulai 8 pagi hingga 3 petang dari Isnin hingga Jumaat.

“Pelanggan yang berurusan di kaunter berkenaan dinasihatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” kata LHDN.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh menghubungi Hasil Care Line di 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara) dan HASiL Live Chat.

LHDN juga boleh dihubungi melalui borang maklum balas di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

– BERNAMA


Pengarang :