ADN Sentosa, Gunarajah R George bergambar bersama gegantung ketika melancarkan program Sihat Sejahtera Sentosa “Cabaran 60 Hari” di Pusat Khidmat DUN Sentosa, Klang pada 1 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wang tunai, cabutan bertuah menanti individu sahut cabaran 60 hari sihat

KLANG, 2 MAC: Ganjaran wang tunai keseluruhan RM2,700 dan cabutan bertuah menanti penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa yang menyahut cabaran 60 hari sihat sejahtera.

Wakil rakyat Gunaraj George berkata program julung kali itu akan bermula 8 Mac hingga 6 Mei dengan mempertandingkan kategori ‘Fit Sentosa’ dan ‘Healthy Sentosa’.

“Peserta mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti boleh menyertai kategori ‘Fit Sentosa’ dan pemenang akan diadili berdasarkan pengurangan berat badan manakala ‘Healthy Sentosa’ terbuka kepada semua.

“Untuk kedua-dua kategori, ukuran berat dan tinggi akan diambil secara bersemuka sebelum dan selepas program berlangsung,” katanya pada pelancaran Sihat Sejahtera Sentosa ‘Cabaran 60 Hari’ di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Menurutnya, individu terbabit perlu mengikuti sekurang-kurangnya lapan kelas zumba, empat modul ceramah rahsia kesihatan dan menghantar rakaman video berat badan kepada penganjur setiap Ahad.

Beliau berkata, seramai 1,000 individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun disasar menyertai program berkenaan dengan 150 penyertaan diterima setakat ini.

Gunaraj turut memaklumkan setiap penyertaan dikenakan yuran sebanyak RM20 yang akan disumbang kepada rumah anak yatim sekitar Sentosa.

“Peserta juga menerima baju T, botol air dua liter, percuma 24 sesi zumba dalam talian dan lapan sesi ceramah rahsia kesihatan,” katanya.

Individu berminat boleh mendaftar di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScvxRPIhBkXp66tlHrIn5wIN6BTzE4eH9ywFYbl0ecat2UjpQ/viewform?fbzx=3209384114755977333 sebelum 5 Mac.


Pengarang :