Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada orang ramai ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warga emas manfaat saringan percuma, daftar suntikan vaksin

SUBANG JAYA, 14 MAC: Seorang warga emas memanfaatkan saringan percuma Covid-19 di Taman Batu Tiga anjuran Kerajaan Negeri semalam meskipun tidak menunjukkan sebarang gejala.

Mohd Salleh Darus, 70, hadir atas rasa tanggungjawab bagi mengekang penularan Covid-19 apatah lagi dia berada dalam kelompok antara golongan berisiko.

“Walaupun hanya keluar rumah untuk pergi pasar, pak cik buat juga saringan ini sebab banyak kes yang tidak bergejala.

Mohd Salleh Darus, 70

“Pak cik juga ambil peluang minta bantuan petugas Selcare mendaftarkan suntikan vaksin kerana tidak tahu menggunakan perkhidmatan itu dalam telefon,” katanya.

Turut hadir dua beradik dari Seksyen 8 di sini selepas seorang daripadanya tidak sihat sejak beberapa hari lalu.

Aisyah Mohd Zainal,23, berkata dia bersama adik, Umar Luqman Nul Hakim,13, membuat saringan percuma selepas dimaklumkan ibunya yang bekerja di kawasan terbabit.

“Adik demam sejak beberapa hari jadi kami ambil peluang ini untuk jalani saringan kerana risau jika positif Covid-19 malah ibu juga lakukan ujian sama lepas tamat kerja.

“Mulanya saya datang untuk teman adik namun bila dimaklumkan ia percuma, saya terus lakukan ujian. Jika di luar (klinik) mungkin perlu mengeluarkan modal,” katanya ketika ditemui di lokasi saringan.

Aisyah Mohd Zainal, 23

Semalam, dua Saringan Komuniti diadakan di Taman Batu Tiga, Subang Jaya dan Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dari jam 9 pagi hingga 4 petang sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Saringan sama diteruskan di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MBSJ, USJ 7 hari ini.


Pengarang :