Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin AstraZeneca di Santiago, Republik Dominica pada 17 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga Selangor terima vaksin Covid-19 kini lebih 38,000

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor kekal merekodkan penerima tertinggi suntikan vaksin dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan 38,632 orang setakat semalam.

Laporan harian pemberian dos pertama vaksin mengikut negeri menyaksikan Perak pada kedudukan kedua iaitu 34,666 manakala Sarawak pula 32,028 orang.

Mengikut data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter, seramai 321,331 individu menerima suntikan di seluruh negara.

Negeri lain iaitu Sabah mencatat 30,433 orang, Kuala Lumpur (29,937), Pahang (25,525), Johor (24,749) dan Kedah (21,171).

Pulau Pinang pula merekodkan 18,465 individu menerima suntikan, sementara Kelantan (15,877), Terengganu (14,949), Negeri Sembilan (12,865), Melaka (8,251), Perlis (7,276), Putrajaya (4,165) dan Labuan (2,342).

Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari kilang di Belgium.

Selangor menerima 78,000 daripada jumlah tersebut yang akan mengutamakan wakil rakyat dan petugas hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasaran atau berkepentingan.

Program imuniasi ini dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan kumpulan petugas barisan hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas, bermula 24 Februari lalu.


Pengarang :